Sunday, April 10, 2011

Perihal Cinta antara Lelaki dan Perempuan Islam Yang Bukan Mahram.



Perihal Cinta antara Lelaki dan Perempuan Islam Yang Bukan Mahram.



Mencintai Allah adalah asas untuk memperolehi kesempurnaan iman. Tidak beriman seseorang itu jika ia tidak mencintai Allah, kerana setiap individu yang mengakui dirinya beriman wajib terlebih dahulu mencintai Allah dengan sepenuh hatinya. Allah S.W.T tidak akan menganugerahkan kemanisan iman (iman yang teguh) kecuali setelah seseorang itu benar- benar mencintai-Nya lebih dari segala-galanya.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W :
“Tiga perkara yang menjadikan kamu memperolehi kemanisan(kesempurnaan)iman, iaitu mencintai Allah dan RasulNya lebih dari selain keduanya.” (Hadis Riwayat Al - Bukhari)

Terapi zaman sekarang manusia terutamanya remaja sangat mengagungkan kemanisan cinta antara lelaki dan perempuan yang belum lagi menjadi mahram mereka. Mungkin ini adalah pengaruh dari cerita-cerita cinta yang mereka tonton di television atau juga kerana novel- novel cinta yang cuma angan- angan dan fantasi yang akhirnya terbawa- bawa ke realiti. Mereka tidak lagi mengutamakan cinta pada ibubapa apalagi cinta pada Allah tetapi mereka lebih mengagungkan cinta sesama manusia lelaki dan perempuan yang jelas sekali bukan mahram mereka. Bagi mereka, itulah cinta yang membawa kebahagiaan bagai syurga didunia padahal cinta yang mereka agungkan itu hanya menambah dosa. Cinta mereka tidak bersandarkan agama tetapi kerana nafsu semata- mata. Ada sesetengah mereka,setelah bercinta,mereka sanggup meninggalkan dan menderhaka ibubapa atau mungkin pada isteri,suami atau anak-anak dan lebih teruk lagi, mereka buat- buat lupa pada segala larangan dan suruhan- NYA.

1. Iblis laknatullah sentiasa menjadi orang ketiga dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram yang akhirnya membawa pasangan kekasih itu kepada awal permulaan zina contohnya berpegangan tangan,kemudian berpelukan,setelah berpelukan berani pula bercumbuan dan akhir sekali belakunya perzinaan.
Nabi Muhammad S.A.W bersabda :
“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan perempuan (bukan mahram) kerana yang ketiganya adalah syaitan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Tidak salah untuk bercinta tetapi bercintalah dengan berlandaskan ajaran Islam iaitu NIKAH dan jangan pula memperlambatkannya. Jangan biarkan hawa nafsu membuatkan diri tidak dapat membendung kewarasan fikiran.

2. Bagi perempuan, jangan benarkan lelaki yang bukan sah menjadi suamimu memegang dan memeluk tubuhmu kerana maruah adalah benteng utama wanita muslimah yang perlu dijaga. Manakala bagi lelaki pula, jangan rosakkan keluhuran seorang perempuan dan jangan biarkan diri tergoda dengan kelembutan wanita. Semailah cinta dan kasih antara lelaki dan perempuan dengan cara yang halal dan cantik dipandang masyarakat.

Berkata Basyir bin as-Sirry : “Bukanlah tanda cinta apabila engkau mencinta apa yang dibenci oleh kekasih engkau.”

3. Cinta yang sejati adalah cinta yang dimana pasangan masing-masing akan menjaga maruah sesama sendiri sebelum nikah. Mereka malu dan takut pada Allah. Mereka tidak lupa pada cinta Allah yang telah menemukan mereka dan mereka sentiasa ingat keberadaan Allah dimana- mana. Mereka tidak melambat-lambatkan akad nikah. Mereka sabar sehingga menjadi suami isteri yang sah.
Sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W dalam hadith qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari:
“Seseorang hamba akan sentiasa mendekatkan dirinya padaKu dengan (mengerjakan) nawafil (amalan-amalan sunnah) sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Akulah pendengarannya yang dia dengar, Akulah penglihatannya yang dia lihat, Akulah tangannya yang dia pegang dan Akulah kakinya apabila dia berjalan.”(Hadis Riwayat al-Bukhari)

4. Lelaki dan perempuan Islam yang beriman tidak akan membiarkan diri mereka tergoda dengan orang-orang yang tidak baik budi pekertinya yang membawa kepada kejahilan hati. Oleh itu cintailah pasangan anda kerana iman yang ada pada diri mereka kerana itulah yang sebenarnya menjadi keutamaan dalam kehidupan yang boleh membawa kebahagian bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Bagi perempuan islam, carilah lelaki yang bertaqwa dan beriman kerana lelaki inilah yang layak menjadi suamimu yang kelak akan menjadi imam dan akan mengajarmu selok belok agama. Jangan terjebak dengan lelaki buaya yang hanya manis dimulut tetapi hatinya ingin menghancurkan benteng pertahanan dirimu yang paling berharga.

Bagi lelaki islam, seboleh-bolehnya carilah wanita yang baik budipekertinya dan bertudung. Jangan jatuh cinta hanya kerana tergoda dengan wajahnya dan bicaranya. Nilai juga keimanannya. Lelaki yang baik dan soleh tidak akan merosakkan wanita yang bakal menjadi isterinya.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:-
"Dan seseorang yang bersentuh dengan babi yang berlumuran dengan busuk lebih baik daripada bersentuhan dengan bahu wanita yang tidak halal baginya."(Riwayat Al-Tarmizi)

Dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi saw bersabda :
"Perempuan itu dikahwini kerana 4 perkara, iaitu kerana hartanya,keturunannya,kecantikannya dan kerana agamanya,maka pilihlah kerana agamanya kelak engkau akan bahagia" (Hadis Riwayat Muttafaqun Alaih)

No comments:

Post a Comment