Sunday, March 27, 2011

SuRaT CiNtA YaNg tErabAi.....


Tersengih-sengit keseorangan. Pelik bercampur hairan dibuatnya. Seperti orang kurang waras gayanya.

“Ehem.. kau ok ke?” Saya menegurnya.

“Eh, aku ok la..”

“Ye la tu..macam tengah senang hati je..”

“Hehe..dia bagi aku surat la..bahagianya aku~” Katanya selamba.

Saya tersenyum. Memahami perasaannya ketika itu.

Hati mengajak saya berfikir. Manusia bahagia bila mendapat surat cinta. Tiba-tiba hati menjadi sayu teringatkan kata-kata seorang guru.

“Kamu kena baca al Quran seperti kamu membaca surat cinta.”

Ya. Benar kata-kata guruku. Tanpa disedari air mata terbit. Rindu pada guruku bercampur kesal. Sungguh bermakna kata-kata itu.

Bila ditanya, “di mana Allah dalam hatimu?” Maka, pasti akan terdengar jawapan, “Tempatnya teratas” atau seumpamanya.

Sebenarnya cukup mudah menjawab tetapi hendak berbuat seiring dengan apa yang dijawab itu yang sukar. Manusia boleh sahaja berbohong kepada manusia lain dalam soal hati tetapi dengan Tuhan adalah mustahil. Sebab itu kita sebagai manusia disuruh menilai orang berdasarkan luarannya. Dalamannya diserah kepada Allah. Ia menjadi rahsia antara si hamba dengan Tuhannya. Kita tidak mampu mengoreknya sekalipun hatinya kita belah.

Saya menasihati seseorang kerana sedih melihat keadaannya.

“Berubahlah sementara masih ada kesempatan. Rahmat dan keampunanNya seluas langit dan bumi.”

Jawabnya ringkas, “InsyaAllah.”

Jawapan yang sama walaupun berpuluh-puluh kali dinasihati. Lega juga mendengar jawapan begitu, sekurang-kurangnya ada tanda penerimaan.

Peliknya sikapnya tidak pernah berubah. Hampir sahaja berputus asa dibuatnya jika tidak dikuatkan dengan kesabaran yang masih berbaki. Dia memandang jawapan, “InsyaAllah” seperti tidak mempunyai apa-apa makna. Sekadar menggunakannya ketika tiada perkataan lain yang sesuai untuk dijawab. Padahal jawapan itu akan menuntutnya kelak.

Jika benar dalam hati, Allah di tempat teratas, mengapa bersikap acuh tak acuh pada cintaNya? Sungguh mengelirukan. Surat cinta daripada manusia biasa ditatap seperti separuh gila, tetapi surat cintaNya tidak diendahkan seolah-olah tiada masa untuk membacanya.

Takut. Surat cinta itu bukan sembarangan. Ia menjadi penentu nasib kita pada hari ketika tidak bermakna langsung surat-surat cinta yang lain. Sungguh beruntung jika ia menjadi hujah BAGI kita kerana ia ibarat peguam bela yang setia menentang sebarang dakwaan. Tetapi teramat malang pula jika ia menjadi hujah KE ATAS kita kerana ia akan bertukar menjadi pendakwa raya yang kebal daripada sebarang belaan. Nauzubillah min zalik.

“Al-Quran itu hujah bagi kamu dan hujah ke atas kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)

“Bacalah al Quran! Sesunggunya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Surat cinta itu menjadi bukti cinta Allah kepada hamba-hambanya. Mengapa kita sebagai hamba seakan sombong padahal kitalah yang berhajat pada cintaNya? Hati yang terlalu asyik melayan kerenah cinta manusia selalu terhijab melihat keagungan cintaNya. Jangan menzalimi diri sendiri dengan bersikap jahil menilai cinta.

Hakikatnya tiada pilihan. Kita mesti bersegera membaca surat cinta itu dan memahami apa yang terkandung dalamnya. Seterusnya mengambilnya sebagai panduan hidup. Itu sahaja cara yang selamat.

Berusahalah membuka dan membacanya. Jika kekok membaca, belajarlah membacanya dengan baik. Kemudian bertanyalah kepada diri, “Adakah aku faham apa yang aku baca?” Jika tidak, berusahalah mencari terjemahannya, carilah tafsirnya dan bertanyalah kepada orang-orang yang berilmu. Kemudian bertanyalah lagi, “Adakah aku mengamalkan apa yang aku faham?” Jika tidak, belajarlah mengamalnya dengan kosisten. Ia tidaklah sukar. Tepuk dada tanya iman. Ada kemahuan InsyaAllah ada jalannya.

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Surah al-Qamar:17)

No comments:

Post a Comment